Sunday, 8 July 2018

Berita: Tawar 25 jenis minuman

Klik gambar untuk panduan Bisnes Air Balang
Deretan balang mengandungi aneka minuman di Bazar Ramadan Kuala Berang ini pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja untuk menikmatinya.
KUALA BERANG - Melihat deretan balang aneka minuman pelbagai warna di bazar-bazar Ramadan bukan sekadar mengundang keinginan kanak-kanak untuk menikmatinya tetapi juga semua peringkat umur pengunjung.

Malah, tidak dinafikan ada yang bagaikan menelan air liur tatkala terpandang kepelbagaian air yang kelihatan menarik dengan pelbagai warna dan perisa.

Senario itu juga tidak terkecuali dapat dilihat di Bazar Ramadan Kuala Berang apabila peniaga air balang, Siti Nurul Aida Mohd Sapawi, 23, dari Ajil menawarkan sebanyak 25 jenis minuman yang dijual dengan harga antara RM1 hingga RM3 bergantung kepada saiz bekas air.

Berkongsi cerita, setiap hari dia menggunakan kira-kira 50 beg ais berharga RM2.90 setiap beg serta 36 kilogram gula bagi menyediakan 25 jenis minuman.

Jadual hariannya bermula kira-kira jam 9.30 pagi setiap hari.

“Sekitar jam 2 petang saya tiba di gerai jualan untuk buat persiapan dengan dibantu tiga pekerja terdiri daripada ahli keluarga sendiri kerana jika bersendirian, memang tak sempat memenuhi permintaan pembeli terutamanya ketika waktu puncak sekitar jam 6 petang.

“Saya sudah berniaga air balang di bazar Ramadan ini sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu, hanya 20 jenis minuman ditawarkan kepada pengunjung.

“Antara minuman dijual ialah air kelapa, nangka, asam boi, teh bunga, milo ais, sirap laici serta jagung. Aneka minuman ini mempunyai penggemar tersendiri dan sukar dinyatakan minuman mana paling laris kerana semuanya mendapat permintaan.

“Namun, dari segi harga, kebanyakan pembeli gemar membeli minuman yang diletakkan dalam bekas berharga RM3 kerana pastinya isian lebih banyak berbanding bekas berharga RM1 serta RM2. Malah, ada juga yang membeli dalam kuantiti banyak,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Siti Nurul Aida, dia tidak menafikan air minuman pelbagai warna juga menjadi satu daya tarikan kepada pembeli hingga ia terjual ratusan bekas sehari, ditambah pula dengan deretan balang lengkap tertulis jenis minuman.

Katanya lagi, selagi namanya berniaga pasti ada cabaran serta pasang surut termasuk ada jenis-jenis minuman tidak habis dijual.

Namun, baginya itu lumrah dan minuman berkenaan ada kalanya diberikan kepada peniaga lain untuk sama-sama berbuka puasa. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment