Sunday, 8 July 2018

Berita: Waris selebriti tak kisah jual air

Klik gambar untuk panduan Bisnes Air Balang
WARIS juga tidak menolak permintaan peminat yang ingin bergambar dengannya.
KEDATANGAN Ramadan semestinya dinanti-nantikan semua umat Islam sedunia. Selain memperbanyak amal ibadah di bulan mulia ini, ia juga dimanfaatkan dengan cara menambah pendapatan.

Tidak terkecuali golongan selebriti juga antara yang ligat mencari wang sampingan memandangkan karier seni setibanya bulan Ramadan akan diperlahan demi menghormati bulan keberkatan tersebut. 

Bazar Ramadan antara yang menjadi pilihan utama penjual untuk memenuhi permintaan pembeli dalam memilih juadah berbuka puasa untuk dibawa pulang ke rumah.

Pastinya kedatangan pengunjung di bazar Ramadan Subang Bestari, Shah Alam khususnya akan mengenali susuk tubuh jejaka yang terkenal dengan lagu Rembau Most Wanted iaitu Waris yang turut menjaja jualan air minuman di tapak perniagaan berkenaan.

Berniaga pada bulan puasa bukanlah perkara yang asing buat pemilik nama sebenar Muzzammil Alias itu kerana sebelum bergelar artis lagi dia pernah membuka tapak jualan selama sebulan di negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.

“Ini merupakan kali pertama saya membuka tapak niaga di bazar Ramadan selepas empat tahun bergelar artis. Kalau sebelum ini, saya akan berniaga di Seremban.

“Sepatutnya tahun ini saya berniaga di Seremban 2 tapi disebabkan tapak peniagaan sementara itu tidak diluluskan, saya dapat rezeki lain untuk buka tapak menjaja di Subang Bestari,” ujarnya membuka bicara.

Waris, 27, menjadikan jualan Air Conteng sebagai penarik buat peminat dan pembeli untuk berhenti di gerai jualanya selain secara tidak langsung dapat mendekati peminat dengan lebih dekat lagi. 

Malah, lebih murni lagi, niatnya untuk berniaga itu juga didorong untuk membantu rakannya dalam memajukan perniagaan yang baharu diusahakan secara kecil-kecilan.

“Air Conteng ini merupakan campuran air soda dan buah-buahan. Secara kebetulan, rakan saya baru membuka kilang kecil menjual air soda jadi saya beli dengan dia dengan niat ingin menolong. 

“Kemudian, keuntungan yang saya dapat daripada hasil menjual itu saya akan minta kawan yang berada di kampung untuk potong rumput. Kebetulan bulan Ramadan tahun ini saya belum ada peluang untuk pulang ke kampung lagi.

“Saya tak naklah niat baik untuk bantu rakan itu disalah tafsir pula. Mana yang boleh dibantu, saya tolong seikhlas hati,” ulasnya menyatakan pendiriannya.

Air Conteng dijual pada harga RM5 sahaja. Murah bukan? Jom, pergi beli!

Terlanjur berbicara tentang perniagaan yang baharu diusahakan sejak 1 Ramadan lalu, Waris turut berkongsi kondisi isterinya, Izzati Amirah Kamaruddin, 27 yang kini hamil lima bulan.

“Puasa tahun ini lebih bermakna sebab kali pertama sambut sebagai suami dan isteri. Malah, insya-Allah bulan Oktober nanti kami akan menyambut anak sulung.

“Memang sangat berbeza, kalau dulu saya akan main mercun dan bunga api waktu kecil dan tak perlu banyak fikir. Tapi bila dah dewasa ini dengan menggalas tanggungjawab sebagai suami dan bakal jadi ayah tak lama lagi, itu sesuatu yang luar biasa.

“Nak pegang gelaran ayah itu memang bunyinya agak besar. Jadi saya kena bersedia daripada sekaranglah. Ada baiknya juga bila jualan Air Conteng habis awal, sebab malam saya dan isteri dapat solat tarawih bersama dan kami pun ada masa untuk istirahat,” ungkapnya mengakhiri perbualan. 

Acapkali jika peminat bertemu dengan golongan selebriti, pastinya tandatangan di atas sekeping album tidak akan pernah lupa untuk dijadikan kenang-kenangan buat mereka yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya anak seni.

Begitu juga buat Waris, selain melakukan hal yang sama setiap kali ada acara bertemu peminat, tetapi istimewanya pada bazar Ramadan yang diusahakannya itu, Air Conteng dilihamkan khusus buat peminatnya.

“Selalu kalau dengan peminat kita akan bagi autografkan? Tapi kali ini saya bagi tandatangan tapi saya tulis nama pembeli di atas gelas plastik. “

Saya seorang penyanyi rap, jadi tulisan graviti itu sudah sebati dalam jiwa. Jadi saya abadikan lakaran tulisan tersebut berserta nama pembeli yang membeli Air Conteng.

Ramuan air ini terdiri daripada air soda, buah pic, nata de coco dan nanas. Dari proses awal penyediaan bahan hinggalah ke peringkat menjual, saya uruskan seorang diri.

“Saya mula berniaga di Subang Bestari pada hari pertama berpuasa. Pada mulanya saya jangka orang taklah terlalu ramai jadi penyediaan bahan pun tidaklah banyak.

“Alhamdullilah, pukul 6.15 petang Air Conteng dah habis terjual walau baru sehari berniaga. Jadi lepas itu, dari hari ke hari saya akan tambahkan kuantiti botol air soda selepas melihat permintaan yang agak baik daripada pengunjung,” tuturnya yang akan berada di bazar berkenaan seawal pukul 3 petang untuk menyediakan bahan-bahan jualan.

Ketika ditanya, apakah popularitinya sebagai penyanyi juga antara faktor utama jualannya laris, Waris tidak menolak stigma tersebut memandangkan ia sesuatu yang baik dan bukanlah satu tujuan yang buruk.

“Memang betul. Populariti yang saya raih menerusi lagu-lagu rap sebelum ini banyak membantu dalam melariskan jualan Air Conteng. Ada yang datang di gerai saya, tiba-tiba nyanyi kojolobak kojolobu tuai padi tigo tangkai.

“Benda ini satu inisiatif saya nak dekatkan diri dengan peminat jugalah. Daripada kita tak buat apa di rumah bulan puasa ini lebih baik usahakan sesuatu yang mendatangkan hasil.

“Dalam pada saya menjual, kita dapat berbual-bual antara peminat dan artis. Kita ambil tahu juga muzik yang macam mana peminat kita suka dengar sekarang ini.

“Kalau boleh tahun hadapan saya nak teruskan menjual Air Conteng ini atau kalau ada rezeki Tuhan nak bagi, mungkin akan menjadi satu francais seluruh negeri,” katanya penuh azam. - Utusan

No comments:

Post a Comment